Minat untuk melabor di pasaran saham memang telah lama terpendam. Semenjak di kolej apabila pertama kali pensyarah membawa aku dan beberapa rakan ke pejabat sekuriti di Shah Alam. Melihat skrin tv memaparkan harga saham membuat aku terlopong tanpa bicara. Bukannya apa, sebab tak faham apa yang ditayang di skrin. Pensyarah sibuk mengarahkan remisernya membuat belian dan jualan saham beberapa syarikat termasuk Idris Hyraulic yang pada waktu tersebut di antara syarikat yang aktif diniagakan di Bursa. Balik dari pejabat sekuriti, pensyarah aku tersenyum gembira kerana beliau mendapat untung yang agak banyak pada hari itu. Aku pun tersenyum juga kerana terpilih di antara ramai rakan untuk di bawa oleh beliau ke pejabat sekuriti tersebut. Dapat tengok skrin urusniaga saham jadilah untuk permulaan.
Semenjak dari hari itu minat aku makin mendalam, tetapi sayangnya minat aje yang mendalam. Proses untuk merealisasikan angan-angan tidak pernah dilakukan. Banyak juga buku aku baca tentang teknik dan tatacara urus niaga saham di bursa dilakukan. Di antara buku yang aku baca termasuklah "I love Stock" oleh Pauline Yong yang aku beli dua tahun lepas. Banyak juga teknik yang aku pelajari dari buku tersebut. Namun sikap tidak yakin kepada diri sendiri masih menebal. Walau bagaimanapun setelah aku melayari laman web Public Bank yang membenarkan urus niaga saham dibuat secara online, terus tanpa berlengah-lengah aku menghubungi cawangan Public Bank terdekat (sebenarnya jauh juga dari rumah) untuk membuka akaun "Share Trading". Biasalah kena masukkan sedikit duit ke dalam akaun, bayar processing fees dan buka akaun CDS dan tunggu beberapa hari untuk pengaktifan akaun secara online.
Setelah menunggu beberapa hari yang amat menyeksakan (biasalah tak sabar le katakan) barulah dapat tengok skrin macam yang aku tengok di pejabat sekuriti dengan pensyarah dulu (tetapi tak dapat dipastikan ianya sama atau tidak). Memang jakun betul aku hari tu (bulan lepas). Mulalah nak tunjuk skil, mulalah cari kaunter (syarikat) yang aku rasa mampu beli. Mulalah sibuk buka laman web Bursa Malaysia nak baca Annual Report syarikat tertentu yang aku rasa nak beli.
Akhirnya pada 29 Mei 2008 aku telah memulakan urusniaga pertama dengan membeli saham syarikat TM dengan harga RM3.20 seunit. Aku beli 5 lot aje ( 1 lot bersamaan 100 unit), mana mampu beli banyak. Tetapi yang tak syoknya lepas beberapa minggu harga jatuh, panik juga sekejap. Lepas tu pada 12 Jun aku tambah lagi portfolio dengan membuat belian saham syarikat MRCB dengan harga RM1.28. Yang ini lagi teruk, lepas beli harga dia terus menjunam. Sehingga hari ini (12 Julai) closing price telah jatuh sehingga ke paras RM1.03. Ini bermakna on paper aku telah kerugian lebih kurang RM 200++. Tetapi suami member agen unit Trust ajar aku consep price average. Kalau harga saham jatuh tetapi kita rasa fundamental syarikat tu kukuh kita boleh beli saham dia untuk mengurangkan kos belian saham tersebut. Tapi itu teknik yang dia pakai untuk menarik pelanggan unit trust untuk terus melabur dengannya. Yang sebenarnya akupun bukannya faham sangat tetapi aku nak cuba teknik yang diajarkan. biasalah kita kena belajar secara praktikal baru boleh faham kut. Asyik belajar teori aje tak nampak apa yang ditulis dalam buku. Tengoklah isnin atau selasa kalau pasaran masih menjunam. Tentu masa yang baik untuk membeli.
Nasihat kawan suruh berhati-hati takut rugi kerana ekonomi negara kurang stabil kesan dari kenaikan harga minyak dan peningkatan kadar inflasi negara akan aku jadikan sandaran. Tetapi kebanyakan buku yang aku baca nasihatkan supaya buat belian semasa harga rendah dan jual semasa harga tinggi. Kalau nak ikut nasihat tersebut kenalah beli semasa pasaran merudum atau ekonomi negara kurang stabil kerana kebanyakan kaunter diniagakan adalah rendah. Entahlah, cuba beli dulu baru tahu. Seperti yang pernah dinasihatkan oleh buku yang aku telah lupa penulisnya, kita kena beli dulu saham baru kita tahu boleh untung atau rugi. Betul juga, kalau kita asyik tengok pasaran turun dan naik macamana kita nak tahu kita boleh untung atau tidak.
Comments